IPOH– Gaya lakonan serta pembawakan watak yang bersahaja di atas pentas meyakinkan hadirin yang membanjiri Auditorium Ipoh, bahawa kesemua pelajar yang terbabit setanding dengan pelakon teater profesional.

Ditambah dengan iringan muzik yang dimainkan secara langsung oleh para pelajar, sememangnya menaikkan seri persembahan yang dipersembahkan oleh pelajar SMK Muhibbah @ Sekolah Seni Malaysia Perak.

Sebelum ini SMK Muhibbah diangkat sebagai Sekolah Seni Malaysia Perak bagi mewakili zon utara dan yang keempat selepas Johor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Penganjuran Malam Gala Sinaran Bintang bagi tahun ketiga ini dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Nomee Ashikin Mohamed Radzi,Pengetua sekolah, Fadhilah Hawari, serta ibu bapa pelajar yang mengambil bahagian.

Ahmad Faizal dalam ucapan perasmiannya berkata, penubuhan sekolah seni itu merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk memastikan bidang seni berkembang sekaligus pemangkin kepada bakat baru yang akan melanjutkan pelajaran di Akademi Aswara Seni Budaya Warisan (Aswara).

“Ini membuktikan Perak tidak ketandusan bakat-bakat muda dalam bidang seni, insyaAllah saya nampak tiada masalah untuk SMK Muhibbah mencapai impian untuk diwartakan sepenuhnya sebagai Sekolah Seni Malaysia Perak, dua tahun dari sekarang.

“Kita mahu melihat bakat seni masa depan negara digilap dari peringkat umur muda supaya mereka dapat dilatih untuk muncul sebagai seniman yang mahir dan karyawan berwibawa seperti yang disasarkan oleh Aswara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Gala Sinaran Bintang 2018 di Auditorium RTM, di sini pada Rabu.

Antara persembahan yang dipertontonkan kepada hadirin ialah “Kahwin Pun Kecoh”, orkestra serta tarian disusuli dengan lagu tema Malam Gala Sinaran Bintang.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal bersetuju untuk menjadikan SMK Muhibbah @ Sekolah Seni Malaysia Perak yang terletak di Sungai Siput sebagai sekolah anak angkat di bawah Pejabat Menteri Besar.

“Kita akan usahakan untuk mewujudkan studio kedap bunyi dan beberapa keperluan lain di sekolah ini, insyaAllah tahun depan..yang penting bakat anak muda ini mesti diasah dengan betul supaya mereka menjadi orang berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Sejak dipilih sebagai sekolah seni dari tahun 2016, sekolah ini berjaya menempa nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Johan Malaysia Floor Pattern Sports Dance Competition, Juara Dunia di Monolit International Talents di Costa Brava, Spain dan Gold Award Peringkat Antarabangsa di International Youth Culture and Arts Festival.