LUMUT: Sekolah Tahfiz Bayt Al Ikhlas di Padang Tembak di sini menjadi sekolah tahfiz perintis yang menggunakan sistem pendidikan antarabangsa dalam usaha membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan akhlak

Selain pengajian tahfiz, kurikulum sekolah itu turut menggunakan sistem ‘International General Certificate of Secondry Education’ (IGCSE) yang dibangunkan oleh Universiti Cambridge di samping pengajian bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia merupakan satu pendekatan yang sangat kreatif yang dilakukan oleh Yayasan Nur Ikhlas, hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Diharap orang ramai juga dapat membantu dalam usaha untuk mendidik anak yatim dengan taraf pendidikan yang terbaik, ‘first class education’,” katanya kepada pemberita ketika melawat sekolah itu, pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengelola sekolah itu yang juga Pengerusi Yayasan Nur Ikhlas, Datuk Mohd Azmi Othman.

Dr Zambry berharap hasil daripada itu akan melahirkan generasi-generasi yang terbaik, menjadi hafiz dan masa yang sama belajar dalam bidang akademik.

MB_sekolah_tahfiz
“Dengan adanya cara ini, kita akan dapat melahirkan generasi yang benar-benar seimbang kerana kita juga turut menekankan soal pembinaan akhlak, diri mereka dan dengan adanya gabungan keseluruhan, maka kita akan dapat melahirkan insan yang cemerlang.

“Inilah matlamat kita kerana mereka daripada keluarga yang miskin dan saya yakin, dengan adanya kesungguhan dan keupayaan kita untuk melahirkan mereka, keluarkan mereka daripada kepompong miskin tegar,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sekolah tahfiz itu akan memberi pendidikan kepada kira-kira 100 pelajar tingkatan satu hingga lima dan sebagai permulaan, 22 pelajar tingkatan satu mendaftar hari ini.

Sementara itu, Mohd Azmi memberitahu, sekolah tersebut terletak di kawasan seluas dua ekar dengan kos pembinaan RM4 juta.

Menurut beliau, selain daripada tahfiz dan akademik, pelajar juga akan menyertai kegiatan sukan seperti memanah, berkuda dan berenang.

Katanya, sebagai permulaan, sekolah itu hanya mengambil pelajar dari Perak dan proses pengambilan turut dibantu oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Semasa lawatan itu, Dr Zambry turut meninjau kawasan sekitar sekolah yang mempunyai ciri-ciri seperti pusat pendidikan Islam di Maghribi.