IPOH: Sekolah Tahfiz yang tidak berdaftar di Perak disarankan mendaftar dengan kerajaan negeri bagi mengelak kejadian yang menimpa pelajar tahfiz di Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafie tidak berulang khususnya di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendaftaran itu perlu dibuat bagi memudahkan kerajaan negeri memantau sekolah-sekolah berkenaan dan menetapkan sistem yang lebih tersusun sekaligus mengelak kejadian seperti itu daripada berlaku.

“Kita ambil iktibar daripada kejadian ini, masih banyak yang belum mendaftar dengan alasan kerana bilangan pelajar terlalu kecil atau sekolahnya kecil.

“Setiap institusi agama perlu mendaftar suapaya pemantauan dapat dibuat sekiranya ada apa-apa yang berlaku, ianya bukan hanya khusus untuk kes dera tetapi sekiranya terdapat bencana atau apa kerajaan negeri boleh membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Pelajar tahfiz di Kota Tinggi, Johor berkenaan telah meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) kira-kira jam 2.05 petang tadi.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafie, 11, meninggal dunia sebelum sempat menjalani pembedahan untuk memotong tangannya yang dijadualkan hari ini namun tidak dapat dijalankan berikutan keadaan jantungnya yang tidak stabil.

Mohamad Thaqif sebelum ini didakwa telah dipukul pembantu warden di sekolah tahfiznya sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya dipotong baru-baru ini.