IPOH: Sekolah vernakular sewajibnya menunjukkan komitmen kepada kerajaan dan rakyat dengan mengambil tanggungjawab memastikan setiap pelajarnya menguasai Bahasa Malaysia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, adalah janggal dan ironis jika  terdapat  seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia, dengan mendapat segala nikmat dan keistimewaan seorang warganegara, tetapi tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca di dalam bahasa kebangsaannya.

d2f6bd19-f614-447b-acd6-0ba088745416 (1)Titah baginda, penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah vernakular seharusnya pada tahap kefasihan yang setanding, atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

“Bahasa adalah medium yang dapat menjalinkan dan merapatkan hubungan manusia.  Keupayaan menguasai bahasa pertuturan dan penulisan yang sama adalah prasyarat yang memungkinkan berlakunya komunikasi.

“Usaha untuk memfasihkan setiap pelajar di sekolah vernakular menguasai bahasa kebangsaan, hendaklah diterima sebagai satu cabaran, dan pencapaian pelajar menguasai bahasa kebangsaan, dijadikan salah satu indeks utama pengukuran pencapaian sekolah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan SMJK Sam Tet di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

210742d9-1b2c-43d4-bbcf-a52522468652 (1)

Sultan Nazrin bertitah, pendirian terbuka kerajaan membenarkan sekolah vernakular terus beroperasi juga wajib dihargai, dengan membuktikan bahawa sekolah sebagai tapak memupuk perpaduan masih dapat dilaksanakan melalui sekolah vernakular.

“Kejayaan sekolah vernakular memfasihkan anak didik mereka menguasai bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu; di samping meminimumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini, terhadap sekolah vernakular,” titah baginda.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkilfi.