IPOH: Sebuah Sekretariat Tetap Dialog Pangkor akan dibentuk di Ipoh bagi membincangkan pembangunan mapan di bawah Program Pem­bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu telah dipersetujui pada dasarnya ketika perbincangan dengan Penyelaras Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Priesner.

Beliau berharap ianya kelak akan diangkat ke UNDP pusat dan menjadikan Dialog Pangkor sebagai dialog serantau atau Dialog ASEAN untuk program UNDP bagi matlamat pembangunan mapam (SDG) dalam 17 perkara yang dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini adalah matlamat kita dan komitmen ini ditunjukkan bersama oleh UNDP, IDR dan NCIA,” katanya dalam sidang media selepas penutup Dialog Pangkor 2017 di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Selasa.

Dr Zambry berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang turut menyampaikan ucaptama terakhir pada program itu turut mengakui Dialog Pangkor mempunyai potensi yang sangat besar.

“Ketika saya berbincang dengan Saudara KJ, beliau melihat potensi yang ada, malah beliau juga mengharapkan agar ianya menjadi satu platform yang besar di peringkat antarabangsa, sekaligus boleh membawa lebih ramai pemimpin-pemimpin besar, seperti Perdana Menteri dan Presiden di negara-negara lain untuk datang dan membuat kenyataan bersama berkaitan 17 perkara itu,” ujarnya.

Menteri Besar berpuas hati dengan sambutan yang diberikan peserta terhadap Dialog Pangkor di mana dewan tetap penuh sehingga ke akhir program.

Menurut beliau, ia membuktikan Dialog Pangkor semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat di seluruh negara dan di peringkat antarabangsa.

Beliau turut berbangga dengan penyertaan golongan anak-anak muda yang penuh dengan aspirasi untuk berkongsi pengalaman, hasrat dan cita-cita mereka.

“Waktu saya jumpa mereka, mereka begitu terhimbau dan ianya menjadikan Dialog Pangkor satu tapak untuk mencetuskan idea, kesedaran dan semangat mereka untuk membentuk planet bumi yang dapat dihuni oleh segenap manusia yang mempunyai cita-cita untuk menjadikan bumi ini tempat yang baik tanpa menimbulkan atau mencetuskan keadaaan yang akan memporak-perandakannya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Zambry amat terharu kerana sambutan yang begitu baik, bukan hanya melibatkan peserta tetapi juga pembuat dasar yang terdiri daripada pemimpin, menteri dan bekas menteri yang turut menjayakan Dialog Pangkor bersama-sama tokoh-tokoh dunia dalam bidang tertentu.

Dr Zambry turut mengumukan bahawa Temasya Idea Perak yang mengandungi lebih 70 aktiviti mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records sebagai `Most Number of Events Organised in One Week’

Menurut beliau, 10,000 idea yang berjaya dikumpulkan sepanjang temasya empat hari itu akan diperhalusi bagi mengenalpasti mana-mana yang boleh dilaksanakan.