IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku salah terhadap tujuh pertuduhan melakukan keganasan seksual terhadap isterinya.

Hakim Norashima Khalid, membuat keputusan itu selepas mengambil kira rayuan dan pengakuan salah tertuduh terhadap kesemua pertuduhan berkenaan selepas kes berkenaan ditetapkan untuk keputusan hari ini.

Himni Nur Hamid, 36, seorang nelayan yang berasal dari Seri Manjung, didakwa atas pertuduhan seksual termasuk mengurung isterinya secara salah dan memiliki video lucah pada pertengahan April  lalu dan mengaku salah terhadap semua pertuduhan selepas kertas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim S Indra Nehru pada 5 Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan seks luar tabie tanpa kerelaan isterinya berusia 36 tahun di rumah mereka di Lumut, Manjung.

Kesalahan didakwa dilakukan antara pukul 1 tengah hari hingga 2 petang dan antara 8.30 malam hingga pukul 11.30 malam pada 16 April lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Tertuduh juga didakwa melakukan hubungan seks menggunakan peralatan tanpa kerelaan isterinya di lokasi sama antara pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 16 April dan antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada 17 April lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan 20 tahun serta sebatan.

Lelaki terbabit turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya ketika melakukan hubungan seks di lokasi sama antara pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam pada hari yang sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa mengurung isterinya secara salah di rumah berkenaan antara pukul 1.30 tengah hari 16 April hingga 12 tengah hari 18 April lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 342 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana memiliki 13 keping video cakera padat (VCD) lucah di lokasi sama antara pukul 1.30 tengah hari 16 April hingga 12 tengah hari 18 April lalu yang sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan masing-masing bagi empat kesalahan yang dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 377C dan 377CA, hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 375A  dan masing-masing setahun penjara bagi kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 342 dan 292 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut mengarahkan supaya hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan secara serentak bermula hari ini