IPOH – Kerajaan negeri disaran memberi lebih tumpuan ke arah usaha merancakkan sektor pelancongan Hulu Perak supaya ia dapat membantu penduduk tempatan menjadikan sektor ini sebagai satu sumber pendapatan tetap.

Menurut ADUN Pengkalan Hulu Datuk Aznel Ibrahim, kawasan Hulu Perak yang meliputi Lenggong, Gerik dah Pengkalan Hulu mempunyai peluang pekerjaan yang agak terhad lantaran kewujudan peluang menjana pendapatan melalui sektor pelancongan didapati salah satu jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini.

Katanya salah satu produk Hulu Perak yang berpotensi dijadikan tarikan pelancong adalah kawasan Tasik Banding di Gerik.

“Berbanding dengan kawasan-kawasan lain, kita sedia maklum bahawa peluang pekerjaan di kawasan Hulu Perak amat kurang kerana tiada industri yang dapat membantu masyarakat di sana mendapat pekerjaan.

“Peluang pekerjaan yg ada hanya untuk bekerja di premis dan ladang kerana cuma ada kawasan berbukit dan pertanian.

“Namun, peluang kerja di ladang juga terhad kerana ramai majikan lebih suka menggunakan jentera mesin untuk mempercepatkan kerja,” ujar beliau ketika ditemui di sidang media selepas merasmikan program Karnival Pekerjaan Sempena Job Fair @ Urban Transformation Centre (UTC) 4.0 di UTC Ipoh hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak itu turut mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri melalui Pusat Kerjaya Amanjaya khasnya agar boleh memberi peluang kepada penduduk di sekitar Hulu Perak supaya dapat bekerja di luar Hulu Perak.

“Sebagai contoh hari ini kita adakan karnival pekerjaan ini di Ipoh. Ia adalah kawasan berdekatan di mana perjalanan dari Pengkalan Hulu ke Ipoh cuma 2 jam jadi tidak menyusahkan mereka sekiranya dapat bekerja di sekitar Ipoh.

“Kita lihat tawaran-tawaran pekerjaan dari 30 syarikat dan lima institusi latihan daripada agensi swasta yang menyertai karnival ini hari ini juga kebanyakannya dari Ipoh dan sekitar negeri Perak,” kata Aznel.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata PEKA akan terus komited untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“PEKA bercadang untuk mengadakan karnival kerjaya di kawasan Hulu Perak dan ia masih di peringkat perbincangan.

Untuk kawasan tersebut, PEKA akan memfokuskan kepada bidang kemahiran contohnya kimpalan, pelancongan dan latihan elektrikal serta pembaikan alat hawa dingin,” kata Ameron.

Tambah beliau kerjasama dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja Negeri Perak (JobsMalaysia Perak) akan ditingkatkan supaya lebih ramai anak perak beroleh manfaat daripada usahasama ini.