HUTAN MELINTANG: Sasaran kerajaan negeri untuk menjadikan moto “Pertanian adalah Perniagaan” akan gagal jika golongan belia masih lagi enggan menceburi bidang yang sebenarnya menjanjikan keuntungan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau agak kecewa kerana masih terdapat belia yang mempunyai mentaliti negatif terhadap sektor tersebut.

Menurut beliau, masih terdapat golongan anak muda yang tidak mengetahui sejauh mana keuntungan dan pendapatan yang boleh dijana melalui pertanian dan perladangan.

“Saya faham kalau ada yang lebih gemar makan gaji dan mempunyai gaji bulanan tetap tetapi jika kita gentar dengan cabaran, bagaimana kita hendak berjaya…begitu juga dengan pertanian, kalau kita tidak mencuba, kita tidak boleh pandang serong bidang ini.

“Malah, kerajaan negeri bersama agensi terlibat telah menyediakan pelbagai insentif, geran dan peluang perniagaan dalam sektor pertanian dan perladangan, cuba cari inisiatif dan mohon segera, jangan hanya tunggu duit nak masuk saja, kena berusaha,” tegasnya.

IMG-20170120-WA0009
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Seminar Agropreneur Muda anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Ladang Ayam Kampung, Sungai Dulang yang turut dihadiri oleh 176 pelajar Kolej Vokasional Teluk Intan, di sini.

Saarani berkata, agak merugikan sekiranya semua keperluan makanan mentah dan sayur-sayuran diimport sedangkan ia boleh diusahakan di negeri ini.

Ditanya mengenai potensi daerah Bagan Datuk dalam pertanian, beliau berkata pihaknya akan merangka satu gerak kerja dan mengenalpasti lokasi yang boleh dibangunkan secara sistematik oleh penduduk setempat.

“Kita akan bekerjasama dengan Agro Bank, Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan mana-mana agensi terlibat untuk membuka peluang kepada anak-anak muda atau individu berpotensi menyertai bidang pertanian ini secara komersial,” ujarnya.