SEGAMAT: Seorang polis bantuan yang dipanah petir di Kampung Tebing Tinggi, dekat sini terselamat dalam kemalangan membabitkan ambulans yang membawanya ke hospital petang semalam.

Kejadian dipanah petir berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika Lans Koperal, Wan Ab Mutalib Mazlan, 50, berada di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Tebing Tinggi selepas mengebumikan jenazah bapanya.

ANGGOTA penyelamat ketika dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa feri karam di Sulawesi. – Foto REUTERS
Wan Ab Mutalib berkata, ketika sedang mengemas kawasan perkuburan itu dan mengumpul peralatan menggali kubur termasuk cangkul, secara tiba-tiba dia mendengar dentuman kuat berhampiran tempatnya berdiri sebelum terasa bahang panas di seluruh badan.

Pada masa sama, telinga menjadi tuli tetapi dia sempat menggagahkan diri bergerak ke pagar berhampiran kubur terbabit.

“Akibat disambar petir, keseluruhan badan terasa kebas secara tiba-tiba tetapi saya sempat berpaut pada pagar sebelum rebah dan bernasib baik kepala tidak terhantuk batu nisan atau kepok.

“Saya tersedar beberapa minit kemudian dan mendapati keluarga membaringkan saya atas papan di pondok di kubur itu sementara menunggu ambulans,” katanya.

Wan Ab Mutalib berkata, dia sekali lagi berdepan dugaan apabila ambulans yang membawanya pula terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum sampai ke hospital.

Katanya, dia bernasib baik kerana tidak terjatuh dan hanya peralatan bantuan pernafasan mengenai kakinya menyebabkan kecederaan.

Dia yang cedera di kaki kiri dirawat di Hospital Segamat dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

“Saya menerima rawatan di Unit Kecemasan sebelum ditempatkan di Wad 3 untuk pemantauan dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini. Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius hanya badan lemah.

“Syukur Allah memberi kekuatan untuk saya menempuh tiga dugaan dalam tempoh 24 jam iaitu ayah meninggal dunia, saya dipanah petir dan terbabit dalam kemalangan jalan raya. Saya berterima kasih kepada keluarga dan kakitangan ambulans serta hospital yang membantu,” katanya – berita harian