IPOH – Undang-undang perlindungan kanak-kanak sedia ada perlu dikuatkuasakan dengan lebih berkesan supaya masyarakat tidak mengambil mudah tentang kebajikan anak masing-masing.

Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Mohd Muzafar Mohd Razali berkata, usaha itu perlu diberi perhatian memandangkan kes tujuh remaja membakar maahad tahfiz dan sekumpulan remaja dilanggar ketika berbasikal berlaku selepas tengah malam atau sebelum Subuh.

Menurutnya, kedua-dua kes ini memberi gambaran bahawa remaja belasan tahun bebas berada di luar rumah tanpa pengetahuan dan kawalan ibu bapa mahupun penjaga.

“Situasi ini telah mengundang pelbagai masalah sosial termasuk pengambilan dadah dan lain-lain.

“Kita memandang serius perkara ini dan menyarankan ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak berkeliaran pada waktu tersebut wajib menjalani sesi kaunseling oleh kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di daerah masing-masing,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pemadam daerah Muallim berkata, cadangan ini bagi menyelamatkan generasi muda negara yang juga bakal pemimpin akan datang seterusnya memelihara keharmonian dan keselamatan masyarakat keseluruhannya.

-SinarHarian