IPOH: Diserbu waktu malam dan kembali beroperasi pada keesokan malam, itulah tindakan berani yang dilakukan beberapa premis mesin judi haram di Pengkalan Hulu.

Mereka seakan-akan kebal terhadap tindakan pihak berkuasa malah sudah lali terhadap notis dan amaran yang dikenakan oleh majlis daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak beroperasi sekitar dua tahun lepas.

Aznil Ibrahim (Pengkalan Hulu-BN) ketika membuat pendedahan ini, mengesa agar tindakan drastik dikenakan terhadap kesemua pengusaha mesin judi haram yang semakin berani melanggar undang-undang sekaligus mencemarkan imej pekan yang terletak bersebelahan negara jiran Thailand.

“Isu ini sudah berlaku sejak dua tiga tahun lepas dan pelbagai tindakan telah diambil namun mereka seolah-olah kebal. Mereka memang degil malah tidak kisah siapa sahaja pelanggan mereka.

“Yang menjadi kebimbangan tempat ini turut menjadi tumpuan golongan belia dan remaja yang masih bersekolah, bukankah ini akan mencacatkan perkembangan modal insan kita dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan usul perbahasan beliau di Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 pada Rabu.

Jelasnya, kesemua premis mesin judi haram yang masing-masing terletak di pekan Pengkalan Hulu dan pekan Klian Intan itu tidak mempunyai sebarang lessen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang sah malah beroperasi selama 24 jam tanpa henti.

Tegasnya, beliau sudah jemu dengan pandangan serong orang ramai terhadap pekan Pengkalan Hulu yang kini mulai dikenali sebagai ‘pekan judi haram kebal’ khususnya di laman sosial.

“Tolonglah lakukan sesuatu sebab judi haram dah jadi pekung. Kita juga berdepan dengan masalah anak muda ketagih dan saya yakin ini menyumbang kepada kejadian pecah rumah dan samun kerana mereka bagi nak dapatkan duit untuk berjudi.

“ Kalau dibiarkan berlarutan, mereka akan menjadi lebih berani untuk mencabar undang-undang dan pastinya akan menyumbang kepada lebih banyak aktiviti jenayah,”katanya .

Katanya, kehadiran pihak polis kini seolah-olah sekadar menjadi bahan sindiran mereka yang tidak sedikit pun gentar terhadap penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka malah akan beroperasi semula walaupun telah ditangkap sehari sebelumnya.

Sementara itu, ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata golongan pengusaha mesin judi haram di Bagan Serai pula mempunyai taktik licik berbeza untuk beroperasi.

Katanya, mereka akan berselindung di sebalik sebuah pasaraya di pekan dan menggunakan penyamaran tersebut untuk beroperasi sehingga selewat pukul 3 pagi.

“Seingat saya, bekalan elektrik premis mereka pernah dipotong namun mereka bawa pula penjana elektrik mudah alih atau generator bagi membekalkan elektrik ke operasi mereka.

“Saya harap perkara ini akan dihentikan segera sebelum mereka tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negeri Perak,”katanya lagi.