IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru rakyat supaya menyelami dan menghayati semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah dan falsafah penyatuan dalam kepelbagaian yang terkandung dalam Perlembagaan Negara.

Baginda bertitah, perpaduan sesama umat Islam wajib diperkukuhkan manakala perpaduan sesama rakyat pelbagai agama dan kaum wajib disuburkan, bagi membina kehidupan yang damai lagi harmoni, di dalam hasrat membangunkan negara yang aman lagi makmur.

“Ketika negara menyambut ulang tahun tarikh kemerdekaan, ketika rakyat memperingati tarikh penubuhan sebuah negara Malaysia yang berdaulat, aman, makmur lagi sejahtera, dan ketika kita menziarahi Peristiwa Hijrah, selamilah,” titah baginda ketika majlis sambutan Maal Hijrah 1440 Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Ipoh di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal dan barisan exco kerajaan negeri.

Raja Nazrin bertitah, barisan pemimpin yang mengasaskan penubuhan negara bersifat pragmatik dan realis dengan menerima realiti komposisi kepelbagaian rakyat di negara ini.

“Negara ini dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa, dan menganut pelbagai agama.

“Prinsip toleransi dan semangat menghormati kewujudan pelbagai agama termaktub di dalam Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan; ‘Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’,” titah baginda.

Baginda bertitah, umat Islam seharusnya memahami tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi.

Bagaimanapun, titah baginda, toleransi yang dimaksudkan tidak bererti umat Islam diperlukan mengakui doktrin keyakinan agama lain, kerana dalam persoalan akidah, Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kesyirikan.
“Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam, menyentuh aspek muamalah harian, ia itu, perkara-perkara berkaitan urusan dunia dan kehidupan manusia, di samping mengamalkan akhlak yang baik ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain,” titah baginda.