SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memutuskan langkah penyelesaian berkaitan isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya esok.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata perkara yang dipersetujui menerusi perbincangan dengan kerajaan negeri hari ini itu akan dimaklumkan dalam sidang media khas di Dewan Negeri Selangor (DUN) jam 1 tengah hari esok.

“Saya sudah menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah; V Ganabatirau (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin negeri) dan G Gunaraj (ADUN Sentosa)

“Ia bagi membincangkan jalan penyelesaian terbaik mengenai isu kuil Sri Mariamman.

“Kerajaan negeri komited untuk mematuhi lunas undang-undang, menjamin ketenteraman awam dan mencari penyelesaian terbaik bagi isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amirudin berkata, semua pihak digesa tidak mengganggu ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan di sekitar kawasan kuil berkenaan.

“Berdasarkan hasil mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri semalam, polis sudah mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menjamin ketenteraman awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai perkembangan terkini anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang menerima rawatan lanjut

“Marilah kita terus berdoa supaya Allah memberi kesembuhan kepada beliau,” katanya – berita harian