IPOH – Kerajaan Perak akan menyelaras semua yuran atau fi melibatkan pembinaan menara telekomunikasi di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Penasihat Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia Negeri Perak yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, mesyuarat tersebut membabitkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat telekomukasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menjadi pemudahcara.

“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengkaji semula yuran-yuran atau fi yang dikenakan sebelum ini kerana terdapat perbezaan di antara satu PBT dengan PBT yang lain. Sekarang kita nak adakan penyelarasan.

“Kemudian, kita sedang mengkaji semula fi yang dikenakan terhadap pelbagai kategori tanah seperti tanah rizab, tanah kerajaan, tanah hak milik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Ahmad Faizal berkata, penyelarasan itu penting supaya pembinaan menara telekomunikasi di negeri ini dapat dipercepatkan pembinaannya untuk dinikmati rakyat.

Dalam pada itu katanya, dengan penyelerasan itu juga syarikat telekomunikasi tidak terbeban dan mengurangkan kos sekali gus pengguna tidak perlu lagi membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan syarikat telekomunikasi – sinar harian