IPOH – Selepas Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru Raya, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu memilih Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Bukit Merah sebagai lokasi seterusnya penganjuran Rumah Terbuka Parti Peribumi Bersatu (PPBM) peringkat kebangsaan pada Jumaat ini.

Langkah memilih destinasi pelancongan negeri sebagai lokasi penganjuran majlis berskala besar itu merupakan strategi kerajaan negeri untuk membantu mempromosi taman-taman tema tersebut sebagai tarikan pelancong.

Ahmad Faizal yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi PPBM dan juga Pengerusi PPBM Negeri berkata majlis rumah terbuka pada 6 Julai itu nanti turut akan dihadiri oleh kesemua barisan kepimpinan parti termasuk Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed.

“Saya jemput seluruh warga Perak terutamanya di sebelah utara untuk sama-sama datang meriahkan majlis ini secara besar-besaran.

“Bukit Merah Laketown juga telah bersetuju unutk membuka kesemua pusat tarikan mereka termasuk ZOO secara percuma kepada pegunjung-pengunjung yang hadir,” katanya pada satu sidang media di sini pada Isnin.

Ahmad Faizal sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan negeri akan menjadikan kawasan-kawasan pelancongan yang ada di negeri ini sebagai lokasi penganjuran acara besar bagi membantu menaikkan industri pelancongan negeri.

Katanya BMLR dipilih sebagai lokasi bagi memberikan kelainan serta keseronokan luar biasa kepada pegunjung khususnya kanak-kanak.

“Bawa anak-anak kita beramai-ramai untuk bersama meraikan Aidilfitri dalam bentuk berbeza, kita beri keseronokkan kepada anak-anak sambil kita dapat bersama meraikan perayaan ini.

“Saya telah dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menganjurkan majlis kali ini jadi keputusan ini dirasakan tepat dan kami akan berusaha gigit membuatkan penganjuran yang terbaik,” ujarnya lagi.

Turut dijadulkan hadir pada majlis rumah terbuka itu nanti, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.