IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengambil langkah aktif untuk membantu menyelesaikan masalah RM60 bilion nilai aset umat Islam di negara ini yang tidak produktif.

Titah baginda, usaha itu juga boleh membantu menghindarkan masalah tersebut daripada terus membesar.

Baginda bertitah, harta dan kekayaan milik umat Islam di negara ini berada di tahap yang lebih rendah, berbanding yang dimiliki oleh bukan Islam.

“Keadaan lebih merisaukan, apabila Beta disembah maklum, dianggarkan RM 60 bilion nilai aset umat Islam bersifat tidak produktif, berada di dalam akaun bank dan insurans yang tidak dituntut, serta aset yang beku disebabkan masalah faraid, setelah berlakunya kematian pemilik aset,” titah baginda.

44f37107-8a39-4693-b634-aac5a8cb24deBaginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli MAIPk, Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini, pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Yang Di Pertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Sultan Nazrin bertitah MAIPK bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama seluruh masjid dan surau, pelbagai agensi kerajaan dan swasta, serta pelbagai saluran media, hendaklah menganjurkan secara besar-besaran program mendidik umat Islam melakukan hibah.

Titah baginda, taklimat penerangan mengenai hibah hendaklah dianjurkan secara berjadual – secara menyeluruh, di seluruh negeri.

9b4fe4b4-49c6-4cf3-be63-7b1468233b96Dalam pada itu, baginda menitahkan supaya MAIPk memperkenalkan modul bantuan lebih inovatif, yang berupaya memberi impak berkesan, sekaligus mengeluarkan asnaf fakir miskin daripada kepompong kemiskinan.

“Hendaklah dijadikan matlamat, semoga pada kemudiannya nanti, para penerima, ditransformasikan beralih status daripada seorang penerima kepada seorang pembayar zakat,” titah baginda.

Baginda bertitah, MAIPk telah memperlihatkan prestasi pencapaian program zakat yang cemerlang dengan kutipan RM57 juta pada tahun 2008, meningkat kepada RM167 juta pada 2017, atau purata pertumbuhan 11 peratus setahun.