Oleh:Nazialita Geynna Maharan

HUTAN MELINTANG: Masyakat India yang merupakan pengundi kedua terbesar di Bagan Datuk selepas kaum Melayu sudah tentu mempunyai peranan dan sumbangan penting kepada pembangunan kawasan Bagan Datuk.

Menyedari hakikat ini, ia telah mendorong calon serta penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkenalkan Manifesto Khas bagi Kaum India Bagan Datuk.

Menurutnya manifesto itu mengandungi 17 ikrar yang dibuat khusus bagi menyelesaikan masalah serta menaik taraf ekonomi dan sosial masyarakat itu.

“Tawaran ini adalah tawaran yang bertepatan dengan manifesto BN di peringkat nasional bersama juga dengan manifesto yang telah dibentangkan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Oleh itu manifesto ini bertujuan menentukan apa yang telah digariskan di peringkat nasional dan negeri benar-benar turun ke bawah dan dinikmati masyarakat India Bagan Datuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Manifesto BN Bagan Datuk untuk Masyarakat India yang menggariskan beberapa jenis bantuan berdasarkan penelitian keperluan mereka yang telah dikaji secara teliti.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata antara yang tersenarai termasuklah pemberian khidmat krematorium percuma kepada seluruh masyarakat India di Bagan Datuk.

Ikrar itu turut berjanji menyelesaikan permohonan pecah bahagian tanah dan isu pertikaian hak milik di Kampung Kamatchy, Kampung Puspa dan Kampung Sungai Timah, katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menyatakan bahawa sebuah Dewan Masyarakat India di Simpang Empat, dekat sini akan dibina malah pihakna juga akan memastikan peningkatan penglibatan masyarakat India dalam program Komuniti Agropreneur NCIA di Bagan Datuk.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru masyarakat India menghargai segala yang dilaksanakan kerajaan di Bagan Datuk dengan memberi undi mereka kepada BN.

Kata beliau undi kaum India itu amat diperlukan bagi membolehkan BN menang di Hutan Melintang dan mengukuhkan lagi kerusi DUN Rungkup pada PRU kali ini.

Ahmad Zahid yang juga merupakan anak jati Bagan Datuk telah membawa pelbagai kemajuan ke daerah tersebut termasuk dalam sektor pendidikan, perindustrian dan pelancongan sejak dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak 1995.

Bagan Datuk mempunyai 49,000 pengundi dengan Melayu 60 peratus, India 21 peratus manakala Cina 19 peratus.

BERITA BERKENAANUMNO Serius Pecat Ahli Bertanding Tiket Bebas