IPOH – Penduduk sekitar Jalan Guntong, Buntong mahu menyelesaikan sendiri masalah anjing liar di kawasan berkenaan tanpa melibatkan pihak berwajib seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Penduduk yang juga aktivis sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Rahimah Nordin, 53, berkata, kes boleh diatasi dengan baik tanpa melibatkan proses pelupusan.

Katanya, tindakan menangkap anjing juga tidak perlu dilakukan jika mereka mahu menangani masalah berkenaan.

“Bagi saya, cara pihak berwajib buat tu tak betul. Pelupusan, racun dan tembak itu semua salah.

“Ada cara lain untuk kurangkan populasi haiwan ini dengan mengasi atau bina satu tempat berpagar,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, penguatkuasa MBI dikatakan datang ke kawasan berkenaan baru-baru ini untuk meninjau situasi.

Mereka dipercayai mahu melaksanakan tindakan ke atas anjing liar di kawasan berkenaan ekoran kebimbangan penduduk terhadap wabak rabies.

Anjing kejar bersebab

Seorang lagi aktivitis NGO, Jeslyn Chow, 50, berkata, pihaknya ada menerima aduan penduduk yang mendakwa dikejar dan digigit anjing liar di kawasan ini.

“Memang ada aduan anjing liar kejar orang di sini tapi mesti bersebab.

“Perkara ini terjadi kerana anjing ini lapar atau ada yang lakukan provokasi dengan baling batu dan sebagainya,” katanya.

Penduduk, V.Hemawarty, 43, berkata, dia berharap agar MBI menyerahkan perkara berkenaan kepada mereka untuk diselesaikan.

“Memang ada aduan daripada jiran-jiran di sekitar kawasan itu yang mengadu kena kejar dan sebagainya tapi itu bukan alasan untuk laksanakan tindakan seperti tembak, racun atau sebagainya.

“Ada banyak lagi kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengatasi permasalahan ini,” katanya.

image (2)

Terima banyak aduan

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat, Aldrich Low Guo Nan berkata, pihaknya ada menerima banyak aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan berhubung masalah anjing liar yang sering mengganggu orang ramai.

Katanya, ada yang mengadu cedera digigit oleh anjing liar sehingga menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk lain lebih-lebih lagi apabila berlakunya kes anjing gila atau rabies di Kuala Sepetang.

“Kita ada terima banyak aduan daripada penduduk. Ada yang kena kejar dan akibatnya mereka mengalami kecederaan.

“Setakat ini pihak MBI masih belum buat apa-apa tindakan berhubung perkara ini. Oleh itu, kita harap ada tindakan yang akan dibuat berhubung perkara ini,” katanya.

-SinarHarian