NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia mematahkan cubaan menyeludup dadah dianggarkan bernilai RM3 juta, yang disembunyikan dalam almari kayu buatan Pakistan di Pelabuhan Klang, Selangor, 8 April lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Zulkifli Yahya, berkata pihaknya melakukan serbuan di sebuah gudang di Pelabuhan Klang dan menemui dadah jenis ketamin seberat 50 kilogram.

Beliau berkata, tiga lelaki, termasuk seorang warga Pakistan, berusia 27 tahun hingga 42 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

“Anggota yang menjalankan risikan melihat dua lelaki mengeluarkan almari kayu dari sebuah kontena yang baru tiba dari Karachi, Pakistan, sebelum memasukkannya ke dalam kereta Proton Wira pada jam 3.30 petang.

“Anggota mengekori kereta berkenaan dan menahannya di tepi Jalan Jasa, Klang. Pemeriksaan ke atas almari itu, pasukan menemui 25 bungkusan ketamin dengan setiap bungkusan seberat satu kilogram disorok di belakang laci almari berkenaan.

“Hasil soal siasat, suspek membawa anggota ke sebuah gudang di Pelabuhan Klang dan menemui sebuah lagi almari. Pemeriksaan pada almari itu turut menemui 25 lagi bungkusan dadah sama,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Kastam, di sini, hari ini.

Susulan penahanan dua suspek itu, Zulkifli berkata, kastam menahan seorang lagi suspek yang disyaki turut terbabit dengan sindiket itu di Klang, pada Selasa lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman 14 hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian