BAU: Curi di Batu Kawa, Kuching sebelum diseludup masuk ke Kalimantan Barat, Indonesia melalui laluan tikus yang ‘berselirat’ di sepanjang kawasan sempadan berhampiran Serikin, di sini.

Ia taktik sindiket curi kenderaan yang akan membawa masuk kenderaan ‘panas’ ke negara jiran dalam tempoh segera bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kenderaan yang dicuri itu perlu segera diseludup sebelum pemiliknya membuat laporan polis, seterusnya mengelak daripada pihak berkuasa membuat operasi mengesan kenderaan curi berkenaan.

Namun, menerusi Ops Libas yang dijalankan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching berjaya merampas kenderaan pacuan empat roda Ford BT50 di kawasan ladang kelapa sawit, Jumaat lalu.

Operasi dijalankan kira-kira jam 5.45 pagi oleh tujuh anggota cawangan risikan selepas mendapat maklumat mengenai kehadiran sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Kuching, Superintendan Mohammad Sar’ie Fauzi berkata, kenderaan itu dipercayai dipandu seorang lelaki menuju ke kawasan sempadan negara untuk diseludup ke Kalimantan Barat menggunakan ‘jalan tikus’.

Menurutnya, dalam operasi itu, anggota PGA cuba menahan kenderaan berkenaan dan mengarahkan pemandunya berhenti namun tidak diendahkan, sebaliknya suspek terus memecut dalam keadaan gelap ke kawasan sempadan.

“Namun sebaik tiba di satu lokasi, kenderaan yang dipandu suspek ditemui tersadai di lereng bukit selepas tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

“Suspek meninggalkan kenderaan itu sebelum melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Sari’ie berkata, hasil semakan pada nombor pendaftaran kenderaan itu, ia dilaporkan hilang di Batu Kawa beberapa jam sebelum ditemui.

Katanya, polis percaya suspek menggunakan ‘jalan tikus’ pada awal pagi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa yang menjalankan rondaan di sempadan negara.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM40,000 dan kenderaan yang ditemui diserahkan kepada polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk tindakan selanjutnya,” katanya – berita harian