IPOH: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Daerah Gerik menyita sebuah kereka Mercedes Benz yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan dan penyeludupan petrol.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Gerik, Mohd Asri Mat Hassan berkata, pihaknya turut menyita 200 liter petrol RON 95, yang kesemuanya bernilai RM10,440, pada Rabu.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat, sepasukan pegawai penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Gerik yang bertugas di sempadan ICQ Bukit Berapit Pengkalan Hulu telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan.

“Pihak KPDNHEP Gerik dengan bantuan pihak Kastam telah menahan sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz di laluan masuk ICQ Bukit Berapit Pengkalan Hulu yang dipandu seorang lelaki Melayu berumur 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Asri, siasatan awal mendapati: pemandu itu tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/desel dalam kuantiti yang banyak daripada pengawal bekalan Malaysia.

Di samping itu, kata beliau, kenderaan yang dipandu dan digunakan itu disyaki telah diubahsuai tangki asal muatan bahan api petrol bagi membolehkannya diisi dalam kuantiti yang banyak.

Menurutnya, pemandu kenderaan membuat pengakuan membuat pembelian barang kawalan Petrol (Ron95) kira-kira 200 liter sekali pembelian di stesen minyak di Gerik untuk dijual ke negara jiran pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran tempatan, di mana harga runcit di Thailand adalah RM4.14 seliter, berbanding hanya RM2.20 di Malaysia.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.