KUALA LUMPUR: Bekas banduan Selva Kumar Subbiah hari ini selamat tiba di Malaysia selepas lebih 3 dekad di Kanada, selepas menghabiskan 24 tahun di sebuah penjara atas sabitan pelbagai jenayah seks dan peras ugut melibatkan berpuluh-puluh wanita.
Selva, 56, diiringi 3 pegawai polis Kanada dan disambut abangnya, menurut salah seorang yang rapat dengan ahli keluarganya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
“Dia akan berada di Kuala Lumpur dan tidak pulang ke Pulau Pinang seperti diperkatakan sebelum ini,” tambahnya kepada FMT.
FMT turut difahamkan, Selva akan dikawal rapat sehingga ke rumahnya di Kuala Lumpur.
Selva tiba dengan bertopi biru dan berjaket hitam jam 7.30 pagi tadi menaiki pesawat Qatar Air QR0488 dari Doha, selepas melakukan pertukaran penerbangan dari Kanada.

Media sebelum ini melaporkan Selva berasal dari Pulau Pinang sebelum berhijrah ke Kanada untuk melanjutkan pelajaran.
Pada 1992, mahkamah Kanada menjatuhkan hukuman 24 tahun ke atas Selva selepas didapati bersalah atas 19 tuduhan serangan seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah, dan 10 pertuduhan pelbagai serangan dan kesalahan lain.
Media dan pihak berkuasa negara itu menyifatkannya penjenayah paling berbahaya, dan memberi amaran beliau masih belum berubah dan ada kemungkinan akan mengulangi jenayahnya.
Kepulangannya di Malaysia menerima pelbagai reaksi, termasuk seruan supaya dia ditahan dan dipantau polis. Bagaimanapun, polis berkata Selva sudah menjalankan hukumannnya dan oleh itu pihak berkuasa tidak berhak menyekatnya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum in berkata walaupun tidak ada undang-undang khusus mengawal pergerakan bekas banduan seperti Selva supaya tidak menjadi ancaman awam, polis akan memantaunya “dari jauh” berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.