SUNGAI SIPUT: Lebih 1,000 pelajar sekolah mengambil bahagian di dalam sambutan Thaipusam yang dianjurkan Kuil Subramaniar dengan kerjasama polis di sini pada Khamis.

Mereka merupakan pelajar 10 buah sekolah di sekitar Sungai Siput.

Mereka yang berpakaian tradisional berkumpul sejak awal jam 7.30 pagi di Sekolah Rendah Tamil Mahatma Ghandi Kalasalai sebelum berjalan kira-kira 500 meter ke kuil dengan membawa belanga berisi susu lembu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden Pamneswaran Arumugam, program dengan kerjasama RELA dan beberapa NGO itu bertujuan menyemai budaya Thaipusam kalangan pelajar kaum india di Sungai Siput.

“Matlamat kita mengadakan progam ini adalah untuk menanam budaya Thaipusam kepada golongan pelajar supaya mereka menjadi insan yang berdisplin dan sentiasa mematuhi adat resam budaya agama mereka.

“Hari ini kita melihat generasi muda rosak akhlak mereka kerana pegangan agama mereka tidak kuat sehingga mudah terjerumus ke dalam kancah dadah dan sebagainya,’’ katanya.

Seorang guru, K. Kalaivani, 38, yang menyambut perayaan itu berkata, budaya Thaipusam perlu disemai di kalangan pelajar bagi menjadikan mereka insan yang berdisiplin dan patuh kepada agama.

“Saya bangga melihat golongan pelajar yang mengikuti program ini berpakaian tradisional dan bersopan santun terutama semasa memasuki kuil.

“Budaya Thaipusam ini perlu disemai sejak di alam persekolahan bagi menjadikan pelajar khususnya kaum India sebagai insan yang berdisiplin dan patuh kepada agama mereka ,’’ katanya.

Seorang pelajar, Dharshini Nagasuntharam berkata, dia gembira meraikan perayaan itu bersama rakan pelajar kerana mendapat pengetahuan yang mendalam berhubung budaya agamanya itu.

“Saya amat berbangga kerana berpeluang mengikuti program ini untuk bersama-sama dengan ramai pelajar lain bagi memeriahkan perayaan Thaipusam.

“Thaipusam mengajar saya tentang disiplin diri dan mematuhi segala peraturan adat resam agama,’’ ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Shaarvishen M. Gopal pula berkata, menerusi program itu, dia bukan sahaja dapat menghayati adat resam agama malah mendapat ramai kenalan.

“Saya tidak pernah melepas peluang untuk meraikan Thaipusam bersama keluarga pada setiap tahun dan hari ini saya merasa bertuah kerana berpeluang meraikannya bersama ramai pelajar dengan berpakaian tradisional,’’ katanya.