KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu nombor akaun Tabung Harapan Malaysia (THM) sebelum membuat sebarang transaksi.

Katanya, ini berikutan terdapat poster palsu tabung itu yang tersebar luas di laman sosial , memaparkan nombor akaun yang berlainan daripada yang diumumkan.

“Nombor akaun THM adalah 5660-1062-6452 (Maybank),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng menegaskan, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan orang ramai.

Sejak dilancarkan Rabu lalu sehingga 3 petang ini, THM berjaya mengumpul sebanyak RM18.6 juta.

THM dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas ramai pihak menyuarakan hasrat untuk membantu kerajaan mengurangkan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion. – BERNAMA