IPOH: Semakin ramai kaum India di Perak, terutama golongan muda ketika ini yang meminati bidang keusahawanan.

Setiap kali program keusahawanan diadakan sama ada anjuran badan bukan kerajaan (NGO) mahupun agensi kerajaan maka ia mencatat kehadiran yang ramai.

Majlis pelancaran Entrepreneuship Aspiration Program anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) yang berlangsung sehari di Pusat Latihan Perindustrian Ipoh pada Ahad terbukti berjaya menarik kehadiran lebih 100 peserta kaum itu.

Menurut seorang peserta yang juga usahawan kek dari Taman Silibin, Arulmathi Arumugam, 32, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk menghadiri program keusahawanan itu kerana mahu menambah ilmu bagi membesarkan perniagaannya.

“Saya harap program ini akan membantu semua orang meluaskan perniagaan mereka dan juga bagi mereka ingin membuka perniagaan.

 

kaum india usahawan 2“Saya mengharapkan agar program penting sebegini dapat diteruskan bagi melahirkan ramai usahawan di kalangan kaum India di Perak,’’ katanya kepada pemberita di majlis itu.

Program itu telah dilancarkan oleh Ketua Wanita MIC Perak, T. Thangarani yang mewakili Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk V. Elango.

Seorang peserta orang kurang upaya (OKU), A. Ageswaran, 46, pula berkata, dia menyertai program ini kerana mahu mendapatkan pengetahuan mengenai selok-belok peluang perniagaan sebelum memulakannya.

“Saya mengambil peluang menyertai program ini semata-mata untuk mendapatkan ilmu bagaimana hendak memulakan perniagaan dan daripada agensi mana perlu saya dapatkan pinjaman,’’ katanya.

Sementara itu Pengurus Pentadbiran MAICCI, Shoba Rani Panner Selvam, 32, berkata, pengisian program itu adalah untuk membantu menambah pengetahuan peserta yang masih baru dalam bidang keusahawanan selain meningkatkan perniagaan usahawan sedia ada.

“Program ini bukan hanya untuk orang yang sudah ada perniagaan tetapi juga membuka peluang kepada pelajar dan pemegang diploma yang ingin menceburi dalam dunia perniagaan.

“Program ini juga dapat membantu mereka yang sudahpun bertapak lama dalam perniagaan untuk melebarkan perniagaan mereka, contohnya daripada enterprise kepada sendirian berhad,’’ katanya.