IPOH: Pencerobohan negaranya ke atas Iraq pada tahun 2003 mencetuskan api semangat yang tidak pernah padam dalam jiwa bekas Kolonel Tentera Amerika Syarikat, Ann Wright untuk membantah keputusan kerajaan pimpinan Presiden George W. Bush.

Bantahan tersebut berkobar-kobar sehingga menyebabkan beliau melancarkan misi kemanusiaan di Iraq yang kemudiannya meliputi ke negara-negara bergolak lain sehingga ke hari ini.

Menceritakan kembali penglibatan dan pengalamannya sebelum ini, Ann berkata, dia tidak pernah menyesali keputusannya berhenti dari perkhidmatan tentera di Amerika Syarikat.

Malah segala kecaman yang diberikan oleh segelintir pemimpin di Negara Uncle Sam itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk menyertai beberapa misi kemanusiaan di negara bergolak.

“Saya bersama aktivis kemanusiaan pernah melancarkan bantahan terhadap peperangan yang berlaku di beberapa negara; kami semua melaung-laungkan slogan ‘Hentikan Perang, Hentikan Pembunuhan’.

“Saya telah beberapa kali menyertai misi ke Gaza, Palestin dan menyaksikan sendiri bagaimana tentera Israel menindas rakyat Palestin.

“Walaupun berhadapan dengan ancaman sewaktu melaksanakan misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza, semangat kami untuk menggerakkan satu lagi misi Gaza Flotilla pada tahun hadapan tidak akan luntur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berkongsi pengalaman sebagai aktivitis kemanusiaan di Persidangan Pemikiran dan Ketamadunan Islam Dunia (WCIT) 2017 semalam.

Ann berharap, rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan moral kepada para sukarelawan yang akan menyertai misi itu nanti.

“Isu kemanusiaan perlu diberikan perhatian tidak kira warna kulit, agama atau Negara,m sebagaimana saya yang memperjuangkan isu Palestin sejak sekian lama,” katanya.