Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Rasa cinta dan semangat Malaysia harus tercetus di dalam diri setiap rakyat Malaysia secara tidak formal dari hati nurani sebagai rakyat negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata nilai kebersamaan dan rasa sepasukan di kalangan masyarakat merupakan intipati utama yang akan mengukuhkan integrasi nasional secara mendalam.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia mengetepikan semua perbezaan, baik dari pemikiran dan politik, untuk bersatu di atas nama Malaysia.

“Semangat sebagai rakyat Negara ini, tidak secara formal dan ianya harus tercetus dengan tidak ada kerelapaksaan,ketikanya telah sampai untuk kita ketepikan semua perbezaan,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan Program Ekspresi Negaraku: Simbol Cinta Rakyat Kepada Negara yang kini menjelajah sehingga ke Perak sebagai lokasi ketiga di sini pada Sabtu.

Zahid-Hamidi-KK 4

Lebih daripada 5,000 menyertai program yang bermula seawal pukul 6.15 pagi dengan pelbagai pengisian program serta penyertaan agensi kerajaan malah menampilkan Ikon Negaraku seperti Pak Mazwin (pembuat sulung keris diraja Malaysia), Master Siow (Adiguru Tarian Singa Malaysia) dan ramai lagi di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar.

Mengulas mengenai program itu, Ahmad Zahid berkata ianya memperlihatkan nilai murni yang baik untuk kita berkongsi segalanya sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira mengenai ideologi politik.

“Mereka (pembangkang) harus bersikap berlapang dada, berfikiran terbuka dan tidak harus melihat dari sudut kepartian tetapi kita sebagai satu negara keseluruhannya,” ujarnya lagi.