Golongan belia diingatkan akan pentingnya untuk ada semangat kesukarelawan dalam menjadikan mereka generasi yang bersifat ambil peduli.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata semangat kesukarelawan dapat memupuk sikap ikhlas dalam mengambil peduli keperluaan dan kebajikan masyarakat sekeliling.
“Belia yang mempunyai semangat ini secara tidak langsung akan menjadi insan prihatin terhadap masyarakat sekeliling dan sentiasa ingin membantu tanpa mengharapkan apa-apa.

“Di mana kita berada dan apa juga jawatan dipegang, kita perlu berpijak di bumi nyata dan seharusnya melakukan program komuniti untuk menjadi insan yang lebih sempurna.

“Masa depan dan generasi begitu yang kita inginkan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap dalam program kembara rakan muda di Masjid Al Islah, Taiping pada Jumaat.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Abdul Ibrahim Bahru.

Dalam pada itu beliau juga memberitahu pihak Jabatan Belia dan Sukan Perak amat mengalu-alukan belia negeri ini menceburi bidang kesukarelawanan.
shahrul-zaman-permukimanshahrul-zaman-permukiman-2
“Dari masa ke semasa JBS sentiasa melakukan program-program sukarelawan di seluruh negeri.

“Jadi mana-mana individu yang berminat untuk menyertai mana-mana program tolonglah hubungi kami yang sentiasa mengalukan kedatangan adik-adik,” ujarnya.

Terdahulu, Shahrul Zaman dan kira-kira 40 pelajar dari Noble School of Engineering, Kampung Boyan, Taiping bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan Islam Masjid Al Islah serta mengecat pagar di kawasan tanah perkuburan tersebut.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada program Pemukiman Menteri Besar Perak Parlimen Taiping dan Bukit Gantang.