KAMPUNG GAJAH: Polis menahan lima lelaki kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah pondok tidak bernombor dan Kampung Sungai Badak, Jalan Ulu Dedap, dekat sini, hari ini.

Selang dua jam kemudian, empat lagi lelaki, termasuk tiga warga Myanmar ditahan dalam sebuah teksi di tempat letak kereta belakang sebuah hotel di Seri Iskandar kerana kesalahan yang sama.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, dalam tangkapan pertama kira-kira jam 1.15 petang, polis turut menjumpai sebuah tong ais besar yang mengandungi botol minuman mengandungi air warna hijau, disyaki air ketum.

“Temubual lanjut kemudiannya mendapati salah seorang lelaki berkenaan mengaku tong ais berisi 17 botol minuman tersebut adalah miliknya dan bertujuan untuk menjual kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kelima-lima mereka yang berumur antara 23 dan 50 tahun, mengakui tahu dan faham berkenaan PKP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan berikutan penularan penyakit COVID – 19.

Menurutnya, dalam tangkapan kedua kira-kira jam 3.40 petang, lelaki tempatan, berumur 49 tahun mendakwa datang bersama tiga lelaki Myanmar berumur antara 41 dan 53 tahun dari Ipoh untuk mengambil bantuan makanan.

Katanya, dua daripada warganegara Myanmar itu hanya menunjukkan kad UNHCR apabila diminta oleh pihak polis.

Barudin berkata, mereka juga mengakui tahu dan faham mengenai PKP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

Tangkapan pertama disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.polis

Tangkapan kedua pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969; Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan
Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.