TAPAH: Pemandu lori ais dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian seorang pemandu van dan lapan penumpangnya, kira-kira tiga bulan lalu.

Muhammad Eizat Hazmi, 22, yang beralamat di Mambang Diawan, Kampar mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori secara melulu sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu van serta lapan wanita berusia antara 52 hingga 82 tahun yang juga penumpang van berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 45, Jalan Ipoh -Teluk Intan dekat sini, kira-kira jam 6.45 pagi pada 28 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda hingga RM20,000 dan lesen memandu boleh digantung, jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh manakala kes itu disebut semula pada 27 Februari ini.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh diwakili oleh Ranjit Singh.

-BeritaHarian