Oleh: Nazialita Geynna Maharan

(UPDATED)

TAPAH: Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan yang meragut sembilan nyawa di Kilometer 45, Jalan Ipoh – Teluk Intan di Kampung Hj. Dahlan, dekat Mambang Di Awan di sini, awal pagi tadi.
Dalam nahas jalan raya berhampiran Jalan Besar South Malaysia Trading (SMTD) itu, sebuah lori ais bertembung dengan sebuah van yang dipercayai membawa pekerja ladang sayur.
Kemalangan itu menyebabkan semua lapan penumpang dan pemandu van itu maut di tempat kejadian.

Seorang daripada penumpang yang maut dikenal pasti sebagai Lai Kwan Lan, 77, berasal dari Kg Baru Ladang Banir, Temoh dan pemandu van, Lew San Jau, 33.

Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak a/l Din Keliaw berkata, proses mengenal pasti kesemua mangsa yang lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak polis menerima panggilan pada pukul 6.35 pagi dan siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan kiub ais dari Ipoh, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Lori itu bertembung dengan van yang ketika itu sedang dalam perjalanan ke ladang sayur.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu lori ais cedera parah dan dihantar ke Hospital Ipoh manakala pemandu van dan semua penumpang maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Som Sak berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kenderaan tidak dialihkan semasa pasukan siasatan tiba di lokasi.

Katanya, semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.