TAIPING 27 Sept. – Polis menahan sembilan remaja lelaki bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis bawah umur berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan di Kampung Kurnia Jaya, Kamunting dan Taman Tekah Permai, Aulong di sini sejak 18 September lalu hingga kelmarin.

Kesemua remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun dimana empat daripadanya masih bersekolah itu ditahan di sekitar Taiping dan Kamunting antara pukul 9 hingga 11.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, tangkapan terhadap kesemua remaja tersebut dijalankan selepas mangsa membuat laporan polis semalam setelah dinasihatkan oleh gurunya.

Katanya, mangsa telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan koyakan lama di bahagian alat sulit mangsa.

“Kejadian pertama pada 18 September lalu apabila mangsa dan seorang rakan perempuannya dibawa dua remaja lelaki ke rumah salah seorang suspek di Kampung Kurnia Jaya dan merogol mangsa secara bergilir-gilir bersama seorang lagi rakan mereka.

“Insiden sama berulang lagi di lokasi serupa pada keesokkan harinya apabila mangsa dirogol secara bergilir-gilir oleh kesemua suspek manakala kejadian terbaharu pula pada Selasa lalu di Taman Tekkah Permai, Aulong,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan terhadap kesemua suspek mendapati hanya tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau iaitu bersabit kes rogol, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan mendatangkan kecederaan parah.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap semua mereka yang direman enam hari bermula hari ini sehingga Selasa depan adalah negatif.

“Usaha sedang dilakukan bagi mengesan dua lagi suspek yang dikenali dengan panggilan Hadi dan Boya selain seorang remaja perempuan bernama Anis untuk siasatan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE