TIDAK sangka terkena pada anak saudara sendiri,” kata Noorsuariani Masli, 29, yang berdepan detik cemas melihat mata anak saudaranya bengkak dan berair selepas bermain gincu tiruan.

Menurutnya, selama ini dia hanya membaca kisah itu di media, selain laman sosial, namun tidak menyangka kejadian seumpamanya berlaku pada anggota keluarga sendiri.

Katanya, kejadian berlaku apabila anak saudaranya, Ayshah Hunairah, bermain dengan gincu berkenaan di rumahnya di Saratok, Sibu, petang kelmarin.

“Ada saya cuba melarangnya, tetapi biasalah kanak-kanak… semua benda mereka mahu main. Dia meneruskan bermain gincu dan mencalitnya di bibir dan pipi.

“Selesai mandi, Ayshah dikesan mengalami bengkak pada matanya dan berair. Bintik-bintik merah mula muncul di kawasan pipi dan sekeliling matanya,” katanya.

Melihatkan keadaan itu, dia bergegas membawa Ayshah ke Hospital Saratok dan selepas diperiksa, kanak-kanak itu diberikan suntikan.

“Pihak hospital mengesyaki ia berpunca daripada kesan alergik gincu yang digunakan anak saudara,” katanya

Katanya, selepas diperiksa gincu berkenaan adalah gincu tiruan yang dibeli oleh adiknya – hmetro