JOHOR BAHRU: Kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk terus setia bersama parti dan Pakatan Harapan (PH), sejak Isnin lalu.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata ia sekali gus menafikan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad, semalam yang mendakwa mendapat sokongan 33 ADUN termasuk dua daripada AMANAH bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

“Saya tidak nafikan ADUN AMANAH termasuk saya menerima tawaran untuk menyokong gabungan BN dan PAS Johor untuk membentuk kerajaan negeri baharu, namun kami mempunyai prinsip dan berikrar kekal setia dengan AMANAH dan PH.

“Dakwaan BN Johor yang mempunyai sokongan ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga tidak benar kerana ada yang masih terus menyokong PH dan tidak mahu menerima tawaran mereka.

“Kita juga ada berbincang dan kenal pasti ADUN BERSATU untuk terus menyokong PH, ” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini terdiri daripada UMNO (14), DAP (14), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (11), AMANAH (sembilan), PKR (lima), MIC (dua) dan PAS (satu). -BH