IPOH: Usul semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dikehendaki mengisytiharkan harta mereka akan dibentangkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan Selasa hingga Khamis depan.

Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka, termasuk isteri atau suami, anak dan akaun pemegang amanah kepada Speaker DUN dalam masa tiga bulan selepas usul diluluskan.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, maklumat itu kemudiannya akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dipaparkan di dalam portal mereka.

“Jadi kita di Perak mengambil satu langkah yang lebih jauh daripada yang dibuat oleh negeri-negeri lain.

“Jika mereka Menteri Besar dan Exco diperlukan untuk mengisytiharkan harta tetapi kita memerlukan memerlukan Menteri Besar, exco-exco dan juga ADUN-ADUN untuk mengisytiharkan segala harta mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, usul yang akan dibawa ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu itu selaras dengan yang dibuat kerajaan pusat di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat secara sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.

Sementara itu, Koo Ham menjelaskan, walaupun istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan exco belum lagi dijalankan, ia tidak menjadi isu kerana mereka dilantik untuk satu penggal.

Jelasnya, mereka akan kekal menjadi exco kecuali digugurkan atau meletakkan jawatan atau lucut sebagai wakil rakyat mengikut undang-undang bankrap dan sebagainya.