IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua bendera di negeri Perak dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat permakaman jenazah Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah, sebagai tanda bersedih dan berdukacita rakyat di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, serta rakyat Perak, dukacita mendapat berita kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah pagi ini.

Katanya, kemangkatan baginda bukan sahaja satu kehilangan besar bagi rakyat Pahang tetapi turut dirasai oleh rakyat Perak.

Menurutnya, baginda telah meninggalkan terlalu banyak jasa sebagai Sultan Pahang kelima dan Yang diPertuan Agong ketujuh kepada negara, negeri dan rakyat.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat negeri, saya merafak sembah takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustaín Billah, serta kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Hajah Kalsom binti Abdullah dan kerabat diraja Pahang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan petang Rabu.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi ini.

Ahmad Faizal berkata, sebagai seorang Sultan yang terkenal dengan ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”, Almarhum telah meninggalkan legasi dalam pelbagai bidang, merangkumi bidang-bidang agama, pentadbiran, ketenteraan, pendidikan, budaya, sosial, kebajikan dan sukan.

Menurutnya, baginda terkenal sebagai seorang sultan yang senantiasa mendekati dan mesra dengan rakyat dan senang didampingi oleh rakyat jelata.

Beliau menambah, semasa hayat, baginda berjaya memenuhi peranan Raja Berperlembagaan, menjadi payung naungan yang berjaya menyatukan rakyat pelbagai agama – pelbagai kaum, hidup secara rukun dan damai lagi harmonis.

“Bersama-sama kita mendoakan semoga roh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, dirahmati dan mendapat belas ihsan daripada Allah SWT ditempatkan bersama-sama roh para solihin,” ujarnya.