BANGI – Putrajaya akan mengemukakan arahan bagi semua kementerian, jabatan dan agensi di bawahnya untuk tidak lagi menggunakan beg plastik.

Arahan itu dikeluarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada semua kakitangan awam dalam mana-mana majlis berkaitan kerajaan.

“Kerajaan akan isu surat pekeliling am bilangan dua 2019 yang bertajuk ‘larangan penggunaan beg plastik sekali guna kepada semua jabatan kerajaan dan agensi kerajaan’ dalam majlis-majlis rasmi,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahya.

Menurut Dr Mohd Azhar, ia bagi merealisasikan pelan hala tuju sifar plastik pakai buang yang dirancangkan pada 2018 sehingga 2030.

Sebelum ini, menterinya, Yeo Bee Yin berkata, di bawah pelan itu, penggunaan penyedut minuman hanya hanya ditawarkan atas permintaan.

Selain itu, pelan ini turut menyenaraikan cadangan kepada pengeluar produk plastik konvensional yang berasaskan hidrokarbon untuk mengubah kepada kaedah mesra alam termasuklah menghasilkan penyedut minuman guna semula.

Ia selaras dengan pengumuman pengharaman penyedut minuman plastik oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang berkuatkuasa 1 Januari tahun ini di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ini bagi mengurangkan pencemaran berasaskan plastik dan bertujuan untuk memulihara alam sekitar. – MalaysiaGazette