IPOH – “Semua orang di dunia ada masalah,” itu respons Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terhadap tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad bahawa terdapat tiga Exco Perak bermasalah.

Menurutnya, bukan sahaja tiga Exco, malah kesemua 10 Exco dan Menteri Besar juga mempunyai masalah tersendiri termasuklah ketua pembangkang.

Beliau berkata, dakwaan Saarani kononnya kerajaan Perak rapuh juga tidak berasas dan hanya semata-mata mahu melihat kerajaan negeri gagal mentadbir.

“Saya berasa amat selesa dengan barisan kepimpinan Exco saya dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik. Kalau nak cakap tiga Exco bermasalah, 10 Exco ada masalah, MB pun ada masalah, semua orang ada masalah. Mana ada manusia hidup tak ada masalah? Datuk Saarani tak ada masalah ke? Kalau tak ada masalah dia tak jadi orang politik.

“Motif Datuk Saarani ini sebenarnya mahu melihat kerajaan negeri gagal. Apabila kerajaan gagal rakyat akan rugi pembangunan dan perancangan tidak dapat dibuat dengan baik, tumpuan kerajaan akan hilang. Saya nasihatkan jadilah pembangkang yang baik. Hentilah bermain politik,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Saarani bahawa kerajaan Perak dikatakan semakin rapuh apabila tiga Exconya bermasalah selepas membuat pelepasan Program Larian Untuk Keamanan 2019 anjuran Persatuan Sokka Gakkai Malaysia Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Ahmad Faizal (atas, dua dari kanan) membuat pelepasan Program Larian Untuk Keamanan 2019 anjuran Persatuan Sokka Gakkai Malaysia Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya hari ini.
Ahmad Faizal berkata, pembangkang seharusnya memberi tumpuan kepada peranan mereka untuk semak dan imbang terhadap sebarang dasar yang diwujudkan kerajaan, bukan bermain dengan retorik politik.

Katanya, sebagai pembangkang, mereka seharusnya bersama kerajaan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerja Datuk Saarani dan rakan-rakan lain dalam Barisan Nasional (BN) ini untuk melemahkan kerajaan sekali gus melemahkan rakyat. Jadi itu kerja pembangkang sekarang? Saya nak sebutkan sekali lagi, hentikan cerita politik, tak payah cakap perkara seperti ini.

“Beliau boleh menceritakan kepada rakyat apa yang boleh dilakukan oleh BN dalam pilihan raya akan datang. Tak payah cerita kes orang dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Perak yang ada pada hari ini tidak rapuh seperti yang dikatakan dan kesemua Exco menjalankan tugas masing-masing.

“Sekiranya kerajaan gagal mentadbir, segala pembangunan dan perancangan tidak dapat dibuat dengan baik sekali gus memberi kesan buruk bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada BN jika mereka berjaya mengambil alih kerajaan pada masa akan datang,” katanya.