IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menasihatkan pemilik premis perniagaan dan penyedia perkhidmatan mengemaskini sistem Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) agar cukai tersebut dapat dikenakan berikutan pelaksanaannya yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam berkata pihaknya telah mengadakan lawatan mesra di premis-premis perniagaan bermula sejak pukul 12 tengah malam tadi dan didapati masih ada penyedia perkhidmatan yang masih lagi belum mengemaskini sistem mereka.

“JKDM menasihatkan mereka untuk mengemaskini sistem supaya SST boleh dikenakan bagi penyedia perkhidmatan dan peniaga layak berdaftar, bagi kilang-kilang kita rasakan tiada masalah kerana mereka ada masa untuk melakukannya memandangkan hari ini hari cuti.

“Satu lagi perkara, JKDM sudah mula mengutip cukai jualan ke atas barang-barang import yang kena cukai mulai jam 12 tengah malam tadi pada kadar lima peratus atau 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Pelaksanaan SST bersama Menteri Kewangan anjuran JKDM Perak yang turut dihadiri Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Sabtu.

Beliau berkata pihaknya turut telah menyampaikan beberapa siri taklimat kepada pemilik kilang sebelum pelaksanaan SST, agar mereka boleh menetapkan cukai jualan yang akan dikenakan di antara 5 peratus hingga 10 peratus ke atas produk dan perkhidmatan.

Subromaniam berkata pihak Kastam juga telah memuatnaik lebih daripada 30 panduan industri untuk membantu semua industri dan juga penyedia perkhidmatan yang tertakluk kepada SST.

Beliau turut menyeru kepada pihak peniaga supaya melawat laman sesawang Kastam diwww.customs.gov.my dan membaca panduan industri yang telah dimuatnaik serta menghubungi pusat panggilan Kastam di 1 300 888 500 untuk maklumat lanjut.