Pemuda Bersatu (Armada) hari ini menggesa semua pihak, termasuk para sultan dan raja-raja supaya menunjukan rasa hormat kepada keputusan rakyat yang memilih sesebuah kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri pada setiap pilihan raya.

Sehubungan itu, exconya, Muzzammil Ismail menerusi satu kenyataan media, meminta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya menghentikan serangan bertubi-tubi terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Selaku rakyat yang melihat perselisihan TMJ terhadap Dr Mahathir yang terheret kepada kepentingan politik pastinya merunsingkan.

“Ia sekadar menimbulkan polemik yang tidak menguntungkan rakyat,” katanya.

Muzzammil berkata, pewaris tahta sultan Johor, Tunku Ismail itu perlu mengambil maklum bahawa baginda “masih terikat dan tertakluk dengan dengan peruntukan-peruntukan di dalam Pelembagaan”.

“Begitu juga dengan Sultan dan Raja yang ditabal sekalipun.

“Semua pihak termasuk Sultan atau Raja wajar menunjukan rasa hormat kepada keputusan rakyat yang memilih pada setiap pilihanraya.

“Institusi Raja adalah pemegang taruh paling berkepentingan untuk menghidupkan demokrasi yang baik negara,” katanya.

Muzzammil turut memohon kepada TMJ agar memahami dan tidak berterusan membuat prasangka sehingga membuat kenyataan yang boleh mengugat kestabilan politik negara.

“Saya percaya kerajaan dan rakyat hari ini setia mempertahankan institusi beraja tanpa berbelah bagi,” katanya.

Baru-baru ini, tersebar rakaman video menunjukkan kenyataan Tunku Ismail berhubung menukar perdana menteri sedia ada.

Dalam video tersebut, Tunku Ismail yang sedang beredar meninggalkan sebuah stadium di Larkin, Johor selepas kekalahan JDT pada perlawanan Kejuaraan Liga AFC berdepan dengan penyokong JDT yang melaungkan “hidup TMJ”.

Seorang daripada mereka kemudianberkata “tukar Mora” merujuk jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Kenderaan SUV itu kemudian tiba-tiba berhenti dan Tunku Ismail yang duduk di bahagian hadapan mengeluarkan kepalanya dari tingkap dan berkata: “Daripada tukar Mora baik tukar perdana menteri.”

-Malaysiakini