oleh: Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Kesemua 43 sampel yang diambil daripada anjing di Kuala Sepetang disahkan negatif penyakit anjing gila atau rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sehubungan itu, kategori kawasan berkenaan diturunkan dari Indek Penyakit (IP) Wabak kepada IP Kawalan.

Beliau menjelaskan, perwartaan kawasan itu sebagai sebagai kawasan rabies tidak boleh ditarik balik sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengikuti prosedur yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, antara prosedur itu ialah menurunkan IP secara berperingkat-peringkat daripada wabak kepada kawalan, puteh dan bebas yang keseluruhannya memakan masa dua tahun, bagi membolehkan langkah-langkah pengawalan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan, pelancong tidak perlu risau untuk ke kawasan berkenaan.

“Kepada pelancong ke kawasan ini, janganlah risau, bolehlah mereka datang melancong seperti sedia kala,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Dr Fuziah Muhayat.

Pada 16 Julai lalu, JPV Perak mengesahkan seekor anjing peliharaan yang positif rabies telah mati, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun di Kuala Sepetang.

Berikutan itu, kerajaan negeri mewartakan kawasan Mukim Matang dalam daerah Larut, Matang dan Selama sebagai kawasan jangkitan penyakit Rabies.

Dr Mah memberitahu, mengikut bancian yang dijalankan, terdapat 605 ekor anjing bertuan dan 122 ekor anjing liar di samping 1,783 kucing bertuan dan 24 ekor kucing liar di dalam lingkungan 10 kilometer radius daripada kes rabies yang berlaku.

Di samping itu, ujarnya, sehingga kini, sebanyak 371 ekor anjing, kucing dan kera telah divaksinkan, selain langkah-langkah penerangan dan pendidikan di sekolah, dewan orang ramai dan masjid.