SAYA terima qada dan qadar Allah SWT. Apa yang berlaku kepada saya selama ini ada hikmahnya. Pengalaman selama tiga tahun direman, dipenjara dan diletakkan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau (Poca) banyak mengubah hidup saya,” kata Siti Noor Aishah Atam, 32.

Kisah Siti Noor Aishah yang juga anak sulung daripada lima beradik pernah mendapat liputan meluas selepas ditahan polis Bahagian Counter-Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman di rumahnya di Dungun pada 22 Mac 2016.

Bekas penuntut peringkat sarjana kursus Usuluddin itu ditahan kerana memiliki 12 buku-buku berunsur keganasan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 26 April 2017 selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 130JB Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Namun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Disember 2017 mengurangkan hukuman penjara terhadap Siti Noor Aishah atau mesra dipanggil Aishah dikurangkan dari lima tahun kepada tiga tahun selain Aishah dikenakan tahanan rumah selama dua tahun dan dipakaikan alat peranti pemantauan elektrik (EMD).

Menurutnya, dia kini bagaikan orang baru apabila menamatkan hukumannya pada Disember tahun lalu dan kini nekad memulakan kehidupan baru.

“Jujur saya cakap pengalaman ditempatkan di penjara kerana Sosma memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat kerana di sana kita tidak bercampur dengan orang lain.

“Memang saya sukar menerima apa yang berlaku, rasa tidak adil apatah lagi mengenangkan ibu, ayah dan ahli keluarga, tetapi ketika itu saya cuba menenangkan diri apa yang berlaku ini ada sebab.

“Ia pengalaman yang sukar untuk diterjemahkan. Bayangkan dalam tempoh itu, saya direman, dipenjara, dibebaskan dan ditahan kembali. Malah, selepas dibebaskan, kehidupan saya tidak seperti orang lain kerana berada dalam pemantauan Poca selama dua tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Aishah berkata, selepas selesai menjalani hukuman penjara kerana kesalahan memiliki buku berunsur keganasan, dia pulang ke kampung halamannya di Dungun, namun dia tidak hidup normal seperti orang lain.

“Saya perlu menjalani Poca dan tidak boleh keluar dari kawasan kampung. Sebaik hukuman tamat tahun lalu, saya masih trauma dan tidak berani keluar dari rumah kerana tidak mampu berdepan dengan masyarakat.

“Saya punya cita-cita ingin belajar sehingga peringkat doktor falsafah (PhD) namun sudah tertulis perjalanan saya seperti ini. Apa yang berlaku memberi kesan sehinggakan saya tidak berani keluar dari rumah walaupun tempoh hukuman sudah berakhir.

“Malah, nak cari kerja pun takut sebab latar belakang saya ini, namun memikirkan ibu bapa dan tanggungjawab sebagai anak sulung, saya cuba lawan perasaan itu dan Alhamdullilah, saya kini bekerja di daerah ini,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu lagi bercakap mengenai isu itu kerana ia sudah berlalu, namun ingin ditegaskan bahawa dia bukanlah penyokong atau pengikut IS.

Ketika ditanya sama ada bersetuju sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dimansuhkan, Aishah berkata, dia tidak mahu mengulas panjang isu berkenaan dan berpendapat ada baik dan buruk di sebalik undang-undang berkenaan.

“Kalau mengikut kefahaman saya, undang-undang yang terbaik untuk jenayah ialah undang-undang Allah kerana Allah yang mencipta dan kenal hambaNya sementara undang-undang buatan manusia ini berasaskan akal dan kepintaran manusia yang terbatas.

“Ketika saya di dalam penjara, saya tertanya-tanya bagaimana undang-undang ini digubal, siapa yang terbabit, bagaimana ia dilaksanakan dan pendapat saya proses siasatan jenayah memang terbaik,” katanya.