Chukai: “Memang seronok memancing udang di sungai ini. Mana tidaknya, setiap hari senang saja dapat lebih dua kilogram udang galah,” kata Muhamad Khairul Izul Anang, 31, antara pemancing udang dari Kampung Mak Chili yang ditemui Harian Metro di Sungai Yak Yah, Ibok, dekat sini, semalam.

Muhamad Khairul Izul berkata, ketika pertama kali memancing udang galah di sungai itu, dia tekejut kerana terlalu banyak udang galah boleh dibawa pulang.

“Setiap tiga hingga lima minit umpan pasti dimakan udang, bergantung kepada kemahiran masing-masing.

“Paling seronok udang di sungai ini bersaiz besar dan amat berbaloi bagi kami memancing dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari hampir tiap hari,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, dia hanya memancing di kolam dan pengalaman memancing di sungai terbuka memberi pengalaman baru kepadanya.

“Memang tidak dinafikan Sungai Yak Yah terkenal kerana didiami buaya, namun keseronokan melayan udang yang memakan umpan pancing membuatkan kerisauan kami hilang.

“Kira-kira 20 kaki pancing datang ke sungai ini setiap hari menjadikan keadaan meriah walaupun masing-masing hanya berdiam melayan joran dan ia juga membuatkan kami hilang rasa takut terhadap ancaman haiwan liar,” katanya.

Bagi Yatim Abdullah, 33, dari Kampung Kijal pula, dia datang ke sungai itu untuk mencari hasil sungai antaranya menangkap ikan baung, selain udang galah.

“Saya dah biasa datang ke sungai ini sejak remaja. Biasanya pada Januari hingga Mac, ramai kaki pancing kerana waktu itu udang galah memang banyak.

“Pada bulan lain udang galah ada, tapi tak banyak seperti sekarang yang boleh dikatakan masa terbaik untuk nelayan sungai menjana pendapatan tambahan hasil jualan udang galah,” katanya.

Yatim berkata, pemancing menggunakan pelbagai jenis umpan antaranya umpun-umpun dan cacing untuk memastikan udang memakan umpan mereka.

“Saya sendiri menggunakan umpun-umpun dan cacing, selain udang beras yang dicampur dengan putih telur.

“Kebiasaannya pemancing tidak pulang dengan tangan kosong menyebabkan mereka datang lagi,” katanya.

Menurutnya, harga pasaran udang galah sekitar RM60 hingga RM70 sekilogram, malah boleh mencecah RM90 sekilogram bergantung jumlah penawaran dan permintaan.