GERIK: Senarai calon Barisan Nasional (BN) Perak yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk penilaian.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, senarai ini mengandungi calon-calon yang berpotensi dan wakil rakyat sedia ada.

Menurut beliau, pucuk pimpinan akan membuat penilaian berdasarkan kriteria yang telah digunakan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak dan beberapa pilihan raya kecil lalu.

Antara kriteria itu yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah kesesuaian calon-calon yang berada di kawasan-kawasan tertentu, sama ada calon berkenaan sedang berkhidmat ataupun calon-calon baru yang akan dipilih nanti.

“Calon yang akan dipilih hendaklah calon yang dikenali oleh rakyat, calon yang sedang berkhidmat umpamanya, telah memberi sumbangan yang baik ataupun calon-calon baru yang kita yakin dapat memberikan perkhidmatan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gerik di sini pada Ahad.

mesyuarat-umno-gerik 4

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Dr Zambry berkata, terdapat beberapa kaedah tang digunakan untuk membuat penilaian terhadap calon-calon yang akan dipilih.

“Calon-calon pun tidak tahu tentang kaedah-kaedah ini tetapi yang paling penting ialah calon itu hendaklah dikenali, disukai oleh orang ramai dan kita telah melaksanakan kaedah kajian ini,” ujarnya.

Beliau menambah, UMNO / BN Perak akan akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.