KUALA LUMPUR: Sebelum calon PKR negeri Selangor diumumkan secara rasmi di Kuala Selangor, malam tadi, satu edaran palsu yang didakwa mengandungi senarai penuh calon parti ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebarkan secara meluas di media sosial oleh pihak tertentu.

Senarai palsu itu dipercayai ada kaitan dengan perselisihan faham dalam kalangan pimpinan tertinggi PKR berhubung pemilihan calon parti itu di kerusi tertentu.

Berdasarkan senarai palsu itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan, manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dicalonkan di kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang disandangnya ketika ini.

Senarai itu turut menamakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dicalonkan di kerusi Parlimen Permatang Pauh, manakala kerusi Parlimen Lembah Pantai yang disandangnya, akan ditandingi Ketua Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Penyandang kerusi Parlimen Batu, Tian Chua yang didakwa tidak akan disenaraikan pada PRU-14, dicalonkan mempertahankan kerusi berkenaan, namun nama Datuk Dr Tan Kee Kwong (penyandang Parlimen Wangsa Maju) yang turut dikatakan akan digugurkan, tiada dalam senarai terbabit.

Beberapa nama lain yang tersenarai adalah Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin (Parlimen Ampang), Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Parlimen Kulim Bandar Baharu dan DUN Pantai Jerejak) serta bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah (Parlimen Petaling Jaya).

Pada program Jelajah Harapan Selangor di Stadium Terbuka Kuala Selangor malam tadi, Dr Wan Azizah mengumumkan beberapa nama calon PKR, antaranya Mohamed Azmin di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Selain itu, kerusi Parlimen Selayang kekal ditandingi William Leong, R Sivarasa (Parlimen Sungai Buloh), Wong Chen (Parlimen Subang) dan Zuraida (Parlimen Ampang), manakala penyandang kerusi DUN Sentosa (sebelum ini dikenali sebagai Seri Andalas) Dr Xavier Jayakumar bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Langat.

Semalam, portal berita melaporkan krisis melanda PKR selepas Dr Wan Azizah dikatakan menolak beberapa nama yang diperakukan Mohamed Azmin.

Laporan itu mendakwa, Mohamed Azmin mengusulkan lapan nama sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun ditolak oleh Dr Wan Azizah.

Antara nama yang didakwa ditolak itu, termasuklah penyandang kerusi sedia ada, iaitu Tian Chua dan Kee Kwong.

Petang semalam, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, setakat pengetahuannya, ceramah pada malam tadi tidak membabitkan pengumuman calon, namun sebaliknya berlaku apabila Dr Wan Azizah membuat pengumuman nama calon itu satu demi satu – berita harian

BERITA BERKENAANKerajaan Negeri Pastikan Harga Rumah Terkawal, Mampu Dimiliki