IPOH – UMNO Bahagian Beruas mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyenaraikan semua 56 individu yang didakwa keluar UMNO menyertai parti itu.

Ketuanya, Datuk Abd Manaf Hashim berkata, daripada laporan diterima, individu yang didakwa dari UMNO cawangan Kampung Che Putih itu, tidak pernah mendaftar sebagai ahli.

Beliau memberi contoh, Razali Hasan yang mendakwa sebagai Setiausaha UMNO cawangan juga tidak pernah menjadi ahli UMNO, sekaligus tidak mungkin dilantik menjadi setiausaha.

“Jadi kita cabar mereka umumkan semua nama yang dikatakan bertindak keluar UMNO itu, jika tidak, saya anggap mereka hanya berbohong,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media semalam, seramai 56 individu kononnya ahli UMNO dari cawangan Kampung Che Putih bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu.

Mengetuai kumpulan itu ialah Razali yang mendakwa sebagai bekas setiausaha cawangan berkenaan.

Keputusan berkenaan dikatakan telah dibincangkan secara bersama dan kata sepakat dicapai, dua minggu lalu atas dasar hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada.

Mengulas lanjut, Abd Manaf berkata, Bersatu tidak perlu melakukan taktik seumpama itu hanya untuk menarik perhatian pengundi di kawasan Beruas.

“Bagaimana rakyat Beruas boleh menerima parti Bersatu jika dari awal lagi dah mula berbohong,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu berkata, pihaknya sedaya upaya mengambil perhatian setiap keperluan dan kebajikan rakyat di kawasan itu.

“Hanya dalam hal tertentu apabila bertentangan dengan syarat kelulusan, itu perlu sedikit tempoh, contohnya hendak masuk air atau elektrik di rumah yang dibina di kawasan tanah rizab jalan, itu tidak boleh,” tambahnya.