PETALING JAYA: Satu persatuan hak wanita mengecam seorang senator PKR kerana menyeru diwUjudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi lelaki daripada tergoda melakukan jenayah rogol, mengatakan “pengawasan moral” sama sekali tidak berkesan.

All Women’s Action Society (Awam) berkata dakwaan Mohd Imran Abd Hamid bahawa lelaki boleh dipengaruhi untuk melakukan jenayah rogol, cabul dan sumbang muhrim tidak boleh diterima.

“Lagipun, pelakunya yang mesti bertanggungjawab atas tindakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Idea bahawa mangsa tidak dapat akses keadilan atau menuntut suatu bentuk pembetulan selepas melalui pengalaman yang menyahinsanikan itu menambah kepada penciptaan budaya ketakutan dan keganasan,” tambahnya.

Senator Imran di Dewan Negara hari ini dilapor berkata lelaki perlu dilindungi kerana perlakuan dan pemakaian kaum wanita boleh menggoda mereka melanggar undang-undang.

Awam berkata pemakaian seseorang bukan sebab kenapa kanak-kanak dicabul atau orang dirogol.

Ia berkata keganasan ke atas gender bukan tidak selalunya kerana ghairah dan nafsu, tetapi kuasa dan objektifikasi.

“Ia kerana kuasa, keistimewaan dan keizinan yang diberikan masyarakat apabila orang-orang berkuasa gagal menangani keganasan ketika perogol dibebaskan atau mengahwini mangsa dan apabila kanak-kanak dijual untuk berkahwin bagi meringankan beban kewangan keluarga.

“Ia mengenai kuasa, kawalan dan ‘saya boleh lakukan perkara ini ke atas kamu’,” katanya.

Awam berkata ia baru-baru ini menjalankan tinjauan ke atas 35 kanak-kanak perempuan berusia 14-17 dan 60% daripada mereka mendakwa mereka pernah mengalami gangguan seksual secara lisan. Mereka juga menjadi sasaran sindiran seksual.

“Hampir semua perempuan berkenaan berhijab dan kebiasaannya berpakaian sopan.”

Awam berkata Akta Gangguan Seksual diperlukan, tetapi bukan kerana wanita perlukan keistimewaan tetapi kerana semua orang walau apa pun gender mereka berhak hidup secara bermaruah tanpa perlu takut akan keselamatan diri.

Imran hari ini dilapor mencadangkan suatu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki “akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya.”

Menurut laporan Malaysiakini, gesaan itu dibuat supaya golongan lelaki “selamat” dan seteruskan negara jadi “aman”.