SHAH ALAM – Senator Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Imran Abd Hamid menarik balik cadangan mewujudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Beliau juga turut memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan cadangan berkenaan.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terjejas dengan perbahasan saya kerana mencadangkan diwujudkan akta gangguan seks melindungi kaum lelaki semasa membahaskan RUU Profesen Peguam Syarie semalam di Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, niat beliau ikhlas namun tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar.

“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ràmai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum laki-laki kerana dianggap menghina.

“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya.

Semalam di Dewan Negara, Mohamad Imran mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Cadangan dikemukakan bagi memastikan golongan tersebut ‘selamat’ serta menjadikan negara terus aman daripada sebarang gejala yang tidak sihat.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak cadangan akta baharu itu kerana dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

 

Senator PKR dikecam minta undang-undang lindungi lelaki dari digoda