SUNGAI SIPUT: Senator Siti Aishah Shaik Ismail yang sebelum ini menarik diri daripada pencalonan Speaker Dewan Undangan Negeri baru-baru ini bakal dilantik sebagai penasihat Menteri Besar bertaraf Exco.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pelantikan Siti Aishah yang juga merupakan Ketua Srikandi PKR dan Ketua Penerangan PKR Negeri dibuat selepas kesepakatan dicapai antara semua parti komponen Pakatan Harapan.

Menurutnya pemimpin PH juga bersetuju perlantikan itu dibuat atas dasar potensi besar yang dimiliki pemimpin wanita muda itu dan yakin dengan kebolehannya untuk menasihatkan golongan exco di Perak.

Beliau berkata berita itu telah disampaikan sendiri olehnya kepada Siti Aishah yang secara dasar menerima baik pelantikannya.

“Pelantikan ini akan berkuatkuasa sedikit masa lagi, dan surat lantikan telahpun dikeluarkan. Saya amat yakin dengan pelantikan ini, kerana Siti Aishah pasti akan dapat menyampaikan perkhidmatan jauh lebih baik kepada rakyat Perak secara keseluruhannya terutama golongan belia,” katanya kepada pemberita .

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sambutan rumah terbuka Aidilfitri peringkat Bersatu Bahagian Sungai Siput,di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau diberikan mandat untuk menentukan skop tugas Siti Aishah sebaik memegang jawatan berkenaan dan mencadangkannya memfokuskan kepada pemerkasaan belia dan membantu gerak kerja portfolio itu kelak.

Sebelum ini, Astro Awani melapokan suasana Persidangan DUN Perak bermula dalam keadaan tegang selepas sesi pencalonan Speaker Dun Perak yang baharu, dipertikaikan oleh beberapa pihak.

Dalam sebuah kenyataan, Siti Aishah yang merupakan calon Speaker DUN Perak bagi PH bagi penggal ke-14 membuat keputusan menarik diri memandangkan DAP turut menghantar calonnya.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kemudiannya dipilih sebagai Speaker DUN yang baharu manakala Timbalan Speaker pula, merupana ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli.

Ahmad Faizal bagaimanapun menafikan, lantikan itu sebagai satu ‘pujukan’ sebagai jalan perdamaian selepas tindakan salah satu parti komponen mendesak Siti Aishah menggugurkan pencalonannya.

Beliau menambah, sedari awal kesemua barisan kepimpinan tertinggi PH telah mempunyai rancangan untuk meletakkan bekas calon PRU-13 itu untuk sesuatu jawatan berpengaruh.

“Sebagai pemimpin muda yang bijak dan miliki sifat taat setia kepada parti, saya yakin beliau faham akan keputusan ini.

“Dia mempunyai banyak masa lagi, dan saya yakin masa depan beliau sangat cerah dan kepimpinannya akan terserlah dengan jawatan lebih tinggi kelak,” katanya.