IPOH – Pakatan pembangkang masih menjaja isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi gambaran buruk tentang kerajaan di samping menggunakan peluang itu bagi memutarbelitkan situasi sebenar kepada rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menjelaskan, pembangkang sengaja menggunakan isu 1MDB yang rumit untuk difahami bagi memburukkan imej kerajaan di mata dunia.
“Mereka (pembangkang) sebenarnya bukan tidak faham tetapi sengaja tidak mahu faham, walaupun isu 1MDB sudah selesai tapi sengaja diulang-ulang kerana tiada modal lain.


“Strategi pembangkang dengan menggunakan isu 1MDB yang disifatkan sebagai isu yang ‘complex’ dan sukar diterangkan kepada rakyat melainkan dengan dialog seperti hari ini, bila rakyat tidak faham maka mudahlah untuk racuni pemikiran,”kata Arul.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel jemputan di sesi Bicara Negara Isu Semasa di Hotel Kinta Riverfront, di sini hari ini.
Yang turut sama, Menteri Besar Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir, Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah serta Datuk Azizul Kama Aziz sebagai moderator.
Ujar Arul, tiada sebab mengapa pembangkang perlu membabitkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu tersebut memandangkan beliau hanya dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat.
“Kuasa Lembaga Penasihat hanya untuk menasihati dan tidak mempunyai sebarang kuasa dalam 1MDB, segala keputusan dibuat oleh pengurusan tertinggi, Lembaga Pengarah dan pemegang saham,”katanya.
Dalam pada itu Arul meminta agar masyarakat tidak cepat mempercayai spekulasi dan fakta yang belum diketahui kebenarannya mengenai 1MDB.
“Menurut rekod syarikat dan hasil penyiasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), tidah pernah sekali pun 1MDB membayar walau satu sen ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib.
“Tiada apa hendak disorokkan tentang 1MDB, sehingga kini masih belum ada perbicaraan, pembelaan mahupun keputusan dari mahkamah. Malah saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat pun ditangguhkan selama enam bulan atas permintaan mereka sendiri.
“Kenapa kita perlu percaya sangat dengan tuduhan yang dibuat oleh Amerika Syarikat sedangkan kita tahu banyak angkara dan kucar kacir yang mereka lakukan di negara-negara Islam seperti Libya, Iraq, Iran dan Mesir,”katanya.